Jenis Baju Pengantin Lelaki dan Perempuan 2020

Baju Pengantin

Perkahwinan merupakan satu aturcara yang berlansung dan hanya berlaku sekali seumur hidup. Oleh itu, baju pengantin merupakan salah satu aspek yang sangat dititik beratkan oleh raja dan ratu sehari.

Baju pengantin merupakan simbol dan tanda bagi perkahwinan mereka, tanpa baju pengantin maka tidak lengkaplah majlis itu. Ia adalah sejarah kisah cinta mengikut kebudayaan dan kefahaman sesuatu kaum pada zaman dahulu.

Pada masa kini, pakaian pengantin merupakan satu pakaian yang unik dalam dunia kehidupan pereka fesyen. Stailnya yang mengagumkan dengan perincian gabungan pelbagai jenis fabrik dan dihiasi mutiara serta manik-manik yang berkilauan membangkitkan seri dan serlah si pengantin. Pakaian pengantin terdiri daripada pelbagai jenis pakaian pengantin antaranya kontemporari, klasik, moden dan tradisional.

Sehubungan itu, pakaian pengantin tradisional mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia melambangkan kaum, budaya dan adat resam pengantin si pemakainya. Setiap kaum mempunyai pakaian pengantin yang diselitkan elemen tertentu dan keunitkan ini menjadi identiti mereka.

Baju Pengantin Kaum India

Sebagai contoh, bagi budaya pengantin kaum India, pengantin perempuan akan menggayakan sari penuh yang berwarna-warni dan ditambah dengan hiasan serta bunga dikepala. Manakala bagi pengantin lelaki pula akan memakai dhoti.

Baju Pengantin Kaum Cina

Bagi pakaian pengantin perempuan kaum Cina, biasanya memakai pakaian dua bahagian yang dikenali Qun Gua atau Cheongsam yang disulam dengan jahitan berbentuk burung Pheonix daripada benang emas dan perak. Pengantin lelaki pula memakai jubah sutera panjang yang bersulam dengan corak naga.

Pakaian ini adalah baju tradisi di masyarakat Cina. Walaupun hari ini banyak baju fesyen baru dah wujud dan pakaian ini semakin dilupai dan dah jarang orang pakai dalam majlis perkahwinan.

Hal ini demikian kerana, ramai bakal pengantin lebih gemar untuk memakai gaun pengantin pada hari perkahwinan mereka yang mana mereka berpendapat bahawa baju ni lebih bergaya dan elegan.

Baju Pengantin Kaum Melayu

Bagi masyarakat melayu pula baju pengantin perempuan akan menggunakan fabrik songket untuk membuat baju kebaya ataupun hanya memakai baju kurung. Bagi pengantin lelaki pula akan menggayakan baju melayu yang lengkap berserta keris dan juga tanjak disamping sampin songket yang diikat.

Selain itu, pakaian pengantin kontemporari pula adalah pakaian tradisional yang telah digabungkan antara budaya serta fesyen dan hal ini telah menjadikan pakaian pengantin lebih menyerlah.

Pakaian pengantin barat atau moden pula ialah pakaian pengantin yang bercirikan ‘ala inggeris’ seperti gaun pengantin yang mempunyai fabrik yang meleret dibahagian belakang gaun dan juga tuksedo serta sut bagi lelaki.

Pakaian pengantin jenis moden sering mendapat perhatian para raja dan juga ratu sehari bagi digayakan pada majlis perkahwinan. Baju pengantin moden juga dipakai ketika upacara memotong kek yang biasanya hanya dihadiri oleh kaum keluarga ini kerana pakaian ini kelihatan menarik dan juga anggun serta mempunyai ciri-ciri dan trend terkini yang sesuai digayakan.

Ciri-ciri Baju Pengantin

Seterusnya, ciri-ciri yang perlu ada pada gaun pengantin ialah korset. Korset perlulah dipakai ketat dan kelonggaran tidak perlu ditambah pada bahagian dada. Lisu hadapan juga perlu diubah mengikut garis puteri dan lisu pemandan dialihkan ke garisan puteri. Layah juga diperlukan bagi menyerlahkan keanggun gaun tersebut.

 

Layah adalah kain yang dibuat berlapis-lapis dengan fabrik net atau organza dan sesuai dipakai dengan pakaian klasik, moden dan kontemporari. Disamping itu, fabrik yang sesuai untuk digunakan membuat baju pengantin adalah lace, satin, brocade, organza, taffeta, velvet dan sequined. Trimin, renda, diamond, labuci dan jemeki boleh ditambah di baju pengantin untuk menaikkan lagi keserian dan kemeriahan baju itu.

Selain itu, trend dan fesyen baju pengantin juga semakin berkembang maju sejak kebelakangan ini. Rekaan terkini dan citarasa yang diinginkan oleh para pengantin juga boleh dikemukakan kepada para pereka agar para pereka dapat merealisasikannya. Oleh itu, kini para pengantin juga mempunyai ruang dan peluang bagi membuat pilihan rekaan idaman mereka sendiri. Kini, terdapat banyak pereka baju pengantin yang berpengalaman dan terkemuka di seluruh negara yang mana ramai antara mereka merupakan generasi muda.

 

Bagi semua ratu dan raja sehari, kesempurnaan baju pengantin amat penting bagi memastikan hari sejarah mereka lebih bermakna. Oleh yang demikian, mereka sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menggayakan pakaian tersebut, semata-mata dalam usaha memastikan hari bahagia mereka sempurna dan lengkap.

Akhir kata, diharapkan perkembangan dalam rekaan fesyen yang semakin memuncak naik kini tidaklah membuang atau mensisihkan identiti bangsa. Penerapan jati diri dengan mengetengahkan rekaan fesyen yang mengasimilasikan antara tradisional dan moden mampu memenuhi minat golongan muda. Nilai dan maksud budaya yang ditonjolkan dalam penghasilan busana ini hendaklah difahami agar semangat meneruskan warisan bangsa dapat kita teruskan dan diwariskan ke generasi-generasi akan datang.