Apa itu Sutera? Batik Kain Sutera

Apa Itu Sutera?

Sutera [su.tĕ.ra/سوترا] merupakan gentian protein semula jadi yang sesetengah jenisnya boleh ditenun menjadi tekstil. Perkataan "sutera" dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu sutra, yang membawa erti dan makna yang sama. Jenis sutera yang paling dikenali adalah sutera yang diperoleh daripada kepompong yang dihasilkan larva ulat sutera kertau (Bombyx mori) sejenis serangga dari keluarga rama-rama yang bersayap empat yang kebanyakkannya terbang pada waktu malam dan tertarik pada cahaya (warna sayapnya agak gelap dan badannya lebih gemuk daripada badan kupu-kupu yang diternak (serikultur). Rupa berkilauan yang menjadi punca tarikan sutera didatangkan oleh struktur seakan-akan prisma segitiga dalam gentian yang membolehkan kain sutera membias cahaya yang menembusinya di pelbagai sudut.

Sejarah Sutera

Adanya bukti sejarah yang menunjukkan bahawa sutera liar sedang diusahakan secara kecil-kecilan di kawasan Mediterranean dan Timur Tengah ketika sutera ternakan yang lebih kuat mula diimport dari China (Hill 2003, Appendix C). Di Terengganu, seawal 1764 ulat sutera generasi kedua diimport untuk penghasilan benang sutera. 

 

Pembentukan kepompong sutera

Ulat sutera menghasilkan kepompong daripada sutera mentah. Kokun ini dihasilkan daripada sehelai benang sutera mentah sepanjang 300 hingga 900 meter (1000 hingga 3000 kaki). Sekiranya ulat bulu dibiarkan mengigit keluar daripada kepompong secara sendiri, benang akan terpotong pendek dan sutera yang terhasil akan menjadi kurang bermutu. Oleh yang demikian, sesetengah ulat sutera ternakan pula dibunuh dan kepompong ulat sutera akan dicelup ke dalam air rebusan untuk membunuh ulat sutera sebelum keluarnya rama-rama dewasa, atau dicucuk dengan jarum. Hal ini membolehkan seluruh kepompong terungkai menjadi sehelai benang yang tak terputus dan memudahkan penguraian benang sutera. Namun demikian, ada juga yang dibiarkan untuk dijadikan induk dan menghasilkan telur ulat sutera bagi kitaran seterusnya. Hal ini bertujuan untuk tidak memutuskan rantaian bekalan sutera dan sumber sutera optimum serta berterusan.

Sutera juga dihasilkan oleh beberapa jenis serangga lain, namun cuma jenis sutera larva rama-rama yang digunakan bagi tujuan pengilangan tekstil. Pernah juga dijalankan kajian terhadap sutera-sutera lain yang menampakkan kelainan dari aspek molekul. Sutera dihasilkan terutamanya oleh larva serangga yang bermetamorfosis lengkap, tetapi juga dihasilkan oleh beberapa serangga dewasa seperti Embioptera. Penghasilan sutera juga kerap diperhati khususnya pada serangga order Hymenoptera (lebah, tebuan, dan semut), dan adakalanya digunakan untuk membina sarang. Jenis-jenis artropod yang lain juga menghasilkan sutera, terutamanya araknid seperti labah-labah.

Rama-rama dewasa yang dibela untuk penghasilan sutera tidak boleh terbang. Ia juga dikenali sebagai rama-rama sutera atau ulat sutera mulberi. Disebabkan sejarahnya yang lama dan dan kepentingan ekonomi, ulat sutera genom telah menjadi tumpuan kajian moden."Sutera liar" dihasilkan oleh beluncas selain ulat sutera kertau dan tidak boleh diternak. Pelbagai sutera liar dikenali dan digunakan di China, Asia Selatan, dan Eropah sejak zaman silam, cuma penghasilannya sentiasa jauh lebih kecil berbanding sutera ternakan. Sutera liar berbeza dari sutera ternakan dari segi warna dan tekstur, dan kepompong-kepompong liar yang dikumpul selalunya sudah dirosakkan oleh rama-rama yang keluar sebelum dikumpuk, maka benang sutera yang membentuk kepompong itu sudah terputus menjadi pendek seperti yang dinyatakan tadi, sutera yang terhasil akan kurang bermutu. Sutera yang tidak terputus semasa proses kepompong ini membolehkan benang sutera ditenun menjadi kain yang lebih kuat. Sutera liar pula selalunya lebih sukar dicelup warna berbanding sutera ternakan.

 

 

 

Rujukan

Mohamad, M. (1996). The Malay Handloom Weavers: A Study of the Rise and Decline of Traditional Manufacture. Pasir Panjang, Singapore: Institute of South Asian Studies.